Monday, December 31, 2012

Induksi & Majlis Ramah Mesra Staf JPIB bersama Ahli Kelab Bahasa

Bermula sesi Disember 2012, Jabatan Pengajian Islam dan Bahasa (JPIB) telah menjenamakan semula Kelab Bahasa yang telah dipertanggungjawabkan kepada staf JPIB untuk menggerakkan beberapa program bercorak akademik dan non-akademik untuk kebaikan semua pelajar. 

Antara kumpulan pelajar yang paling awal tiba.
Dari kiri: Azfar, Bob dan Shahrom

Untuk sesi ini, keahlian hanya dibuka kepada pelajar Dip. Pengajian Islam Kontemporari sahaja sebagai salah satu medium pembelajaran dan pengajaran kepada mereka dalam aspek pengurusan dan pentadbiran. Objektif melahirkan muslim profesional bukanlah semudah yang diangankan jika tanpa usaha yang berterusan daripada semua pihak dan komitmen para pelajar sendiri.




Kumpulan gadis penjaga makanan.
Dari kiri: Ati, Ina dan Lina
Sebagai langkah permulaan, sebuah aktiviti induksi dan ramah mesra telah dirancang untuk mengeratkan hubungan para pelajar dan staf JPIB. Seramai 5 orang baru pelajar baru Dip Peng. Islam Kontemporari dan 3 orang pensyarah baru turut diraikan di dalam majlis ini. Aktiviti berbentuk santai, riadah dan berilmu ini telah berjaya diadakan pada 22 Disember 2012 yang bertempat di Pantai Tanjung Balau, sebuah kawasan rekreasi terkenal di daerah Kota Tinggi ini.



Program ini telah berjaya menghimpunkan semua ahli kelab dan staf JPIB dan beberapa permasalahan berkaitan pembelajaran dan pengajaran sepanjang di INSTEDT dapat dicungkil dan difikirkan penyelesaian bersama. Bermula jam 9 pagi, kebanyakan staf dan semua ahli kelab telah tiba pada tempat yang dijanjikan. Dengan khemah yang beratap dan berlantaikan kanvas yang didirikan bersama, semua yang hadir menikmati sarapan pagi sambil menghirup udara segar pagi di tepian pantai yang indah, tak ubah seperti keluarga yang telah lama tidak duduk bersama. 


Antara pensyarah yang hadir.
Dari kiri: Madam Zuraini & Miss Faizah
Gelak tawa mula kedengaran apabila acara sukan rakyat bermula. Walaupun hanya diadakan bowling padang dan sebuah permainan yang diberi nama oleh Madam Zuraini, 'Semakin jauh, semakin sayang' (maklumlah orang dah berpunya, berabang-sayanglah), tetapi sudah cukup untuk menjadi ice breaking yang baik kepada semua yang hadir. Permainan ini juga diselang-seli oleh nyanyian nasyid dan lagu rakyat yang menjadi hukuman kepada kumpulan yang kalah. Sedap juga dibuai telinga kadang-kala dengan nyanyian-nyanyian ringan tersebut.

Sesi LDK bersama staf 
Setelah permainan tamat, sebuah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) diadakan untuk meneruskan  modul ice breaking dan beberapa modul lain yang dirancang. Namun, disebabkan masa yang tidak mengizinkan hanya satu dua modul sahaja dapat dilaksanakan. Melalui modul ini juga lebih banyak persoalan pelajar terjawab dan permasalahan mereka dapat dikenalpasti oleh staf JPIB. 




Di akhir program, Dr Siti Nurhani Ramli menyampaikan ucapan ringkas dan harapan beliau kepada semua ahli kelab sebagai pelajar dan penggerak kelab untuk sentiasa fokus dalam pelajaran dan menjadi pelajar yang terkehadapan di INSTEDT.

Sekian dulu dan semoga berjumpa lagi.

"Generasi Rabbani Sumber Tamadun Insani"
                

0 comments:

Post a Comment