Friday, February 15, 2013

Juara Pertandingan Esei Minggu Kesenian Islam


RASULULLAH SEBAGAI IDOLA
Tulisan asal oleh: Suhaila Hairul Saleh (Semester 1-DNUR)

Nabi Muhammad SAW merupakan idola dan role-model yang terbaik untuk umat manusia. Hal ini kerana, akhlak baginda yang mulia dan dihiasi dengan sifat-sifat mahmudah akan menjadikan kita seorang muslim yang berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat sekiranya kita menjadikan Rasulullah sebagai idola. Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat seluruh alam dan merupakan utusan Allah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad adalah anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar.

Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajar tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT. Nabi Muhammad dilahirkan di Mekah dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Baginda merupakan rasul dan Nabi terakhir bagi umat manusia dan seluruh alam serta pelengkap ajaran Islam. Beliau juga digelar al-Amin yang bermaksud yang sangant amanah.


Apabila seseorang menghayati sirah Nabi, remaja terutamanya, mereka akan lebih memahami hakikat Islam. Ini kerana, hakikat Islam itu sendiri keseluruhannya terkandung dalam keperibadian Rasulullah SAW dan seluruh perjalanan hidup baginda. Dengan menghayati sirah dan perjalanan hidup Rasulullah, kita dapat menjadikan Nabi Muhammad sebagai contoh teladan paling utama dalam setiap aspek kehidupan tanpa rasa ragu atau syak. Sekiranya manusia mencari seseorang yang boleh dijadikan role-model lengkap dalam setiap aspek kehidupan, mereka tidak akan menemuinya melainkan ia wujud dalam diri baginda SAW. Allah SWT telah menyifatkan baginda sebagai qudwah hasanah (contoh teladan) bagi seluruh manusia sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu diri Rasulullah sebagai contoh ikutan yang baik’.

Mempelajari sirah Nabi Muhammad amat penting sebagai bukti kecintaan kepada Rasulullah. Semakin banyak bukti tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaan seseorang kepada Rasulullah. Rasa cinta dibuktikan dengan mencontohi dan mengamalkan sunnah baginda kerana sesungguhnya hal terpenting bagi seorang muslim dalam kehidupan sehari-hari adalah mengamalkan sunnah Rasulullah dalam seluruh tindak-tanduk, perkataan dan perbuatannya sehingga seluruh kehidupannya diwarnai oleh sunnah Rasulullah sepanjang hari. Selain itu, antara tanda kecintaan terhadap baginda adalah dengan memperbanyakkan ucapan selawat dan salam kepada baginda, berharap untuk melihat dan berjumpa dengan baginda walaupun terpaksa membayar dengan harta dan nyawa kita sendiri.

Oleh itu, sejarah dan pengorbanan Rasulullah untuk menegakkan syiar islam tidak haruslah hanya dikenang ketika sambutan Maulidur Rasul sahaja, malah ingatan dan kecintaan kepada baginda perlu sentiasa malar tanpa mengira musim. Walaupun tidak salah untuk menjadikan orang lain sebagai contoh ikutan dalam kehidupan kita namun, mencontohi keperibadian Rasulullah yang agung adalah lebih utama.

Sekiranya kita menelusuri sirah perjalanan Rasulullah, kita akan mengetahui bahawa Nabi Muhammad telah diangkat menjadi rasul di tengah-tengah masyarakat yang ketandusan akhlak dan tiada belas ihsan. Nabi membesar tanpa kasih sayang dan belaian dari ibu dan bapanya serta dikelilingi manusia jahiliah yang bertuhankan Latta dan Uzza. Namun, aspirasi dan semangat baginda tetap tidak tercemar. Ia tetap suci dan murni sehingga baginda digelar al-Amin (yang amanah). Bagi membetulkan akidah dan akhlak masyarakat Arab Jahiliah, Allah tidak menghantar malaikat dari langit untuk turun mengajar manusia tentang akhlak dan belas ihsan, malah Allah melantik seorang manusia dari kalangan masyarakat itu sendiri untuk menegur mereka. Ini menjelaskan suasana kebejatan moral dan keruntuhan akhlak bukan penghalang untuk kita menjadi manusia yang baik dan mencontohi akhlak mulia Rasulullah.


Antara sifat mulia yang dimiliki oleh Rasulullah adalah sifat pendamai. Menjadi pendamai adalah kualiti tertinggi yang dimiliki oleh Nabi SAW dan mampu dibudayakan oleh umatnya. Biarpun sukar, menjadi pendamai adalah suatu kebolehan yang boleh dimiliki oleh sesiapa pun. Saat Nabi menjadi rasul, suasana umat Arab Jahiliah amat bejat. Perpecahan kaum dan keruntuhan moral wujud pada tahap yang melampau. Namun, Allah membekalkan kepada Rasulullah kualiti diri yang tinggi sehingga mampu menyatukan perpecahan dan mengubati kebejatan moral tersebut. Rasulullah telah menerapkan tiga perkara dalam jiwa masyarakat Arab. Rasulullah menanam kembali tauhid, iaitu percaya pada keesaan dan kekuasaan Allah dalam hati sehingga manusia terasa akan kebesaran, kehebatan dan keperkasaan tuhan. Islam juga telah mengajar kita bahawa kelemahan manusia perlu ditangani dengan dua sikap utama iaitu memaafi dan berbudi.

Kemaafan berfungsi untuk menjaga silaturrahim manakala berbudi pula berperanan untuk membimbing manusia menjadi lebih baik. Suatu kemaafan yang diberi tetapi tidak disusuli dengan berbudi ialah suatu kecacatan. Oleh itu, cuba kita perhatikan karakter Nabi yang paling agung, iaitu baginda bukan sekadar memaafkan kesilapan dan kejahatan orang terhadapnya, malah baginda berbudi pula kepada mereka yang tidak memahami Islam. Dengan akhlak dan kelembutan inilah, akhirnya ramai yang menerima dan memeluk ajaran Islam.

0 comments:

Post a Comment