"Yang paling murah mas kahwinnya, itulah yang paling
berkat”
Limpahan
puji-pujian kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan,
Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta golongan yang mengikuti Baginda
sehingga hari kiamat. Wa ba’du,
Isu
mas kahwin yang tinggi merupakan suatu penyakit baru dalam masyarakat moden
kini. Semuanya bertitik- tolak dari amalan sesetengah golongan masyarakat yang
akhirnya menjadi budaya setempat yang menjerut leher mereka sendiri. Mereka
telah memberatkan diri mereka dengan sesuatu yang telah diberi keringanan oleh
agama.
Nabi
SAW bersabda khusus kepada para wanita, “Yang paling murah mas kahwinnya di
antara kamu (perempuan) adalah yang paling berkat”.
Baginda
bukan hanya berpesan kepada orang lain bahkan Baginda sendiri mengahwinkan
anak-anak perempuan baginda dengan mas kahwin yang rendah. Tidak disyaratkan
ratusan atau ribuan ringgit, hanya yang diambil adalah yang bersesuaian dengan
tuntutan syarak. Begitu jugalah yang diamalkan oleh para salaf (ulama-ulama
terdahulu). Mereka tidak mencari harta dengan menindas bakal pengantin lelaki
ataupun keluarganya atau menuntut barangan yang tidak diperlukan kerana anak
perempuan bukanlah barang dagangan di pasar. Murah mahalnya terletak pada harga
pasaran semasa.
Mereka
adalah manusia, maka yang dicari oleh bapa atau walinya adalah manusia juga
sebagai pasangan hidupnya. Pasangan hidupnya adalah pasangan yang mulia. Mulia akhlaknya dan mulia juga asal
keturunannya.
Maka
kerana itu, datang riwayat dari hadis nabi SAW, “Apabila datang kepadamu seseorang yang kamu sukai agama dan akhlaknya
maka kahwinkanlah (anak perempuanmu) dengannya. Jika kamu tidak melakukannya
nescaya akan berlakulah fitnah dan kerosakan yang teruk di dunia ini”. Riwayat
Tirmizi, Ibnu Majah, dan Hakim.
Jika
dilihat dari hadis ini, yang wajib dituntut atau dipinta oleh bapa atau wali
kepada seseorang perempuan adalah agama dan akhlak si lelaki sebelum mengajukan
permintaan yang lain.
Persoalannya, apakah tujuan perkahwinan dan apakah pula
tujuan pemberian mas kahwin yang tinggi jika pasangan itu orang yang tidak
beragama dan tidak berakhlak? Terdapat banyak persoalan yang sering ditanyakan
antaranya, “Apakah hukum seorang suami meminum arak pada bulan puasa? Apakah
hukum seorang suami yang memanggil anaknya ‘Firaun’ sedangkan nama yang diberi
oleh isteri adalah ‘Yusuf’?” dan sebagainya. Semua soalan ini sebenarnya
berpunca dari awal perkahwinan kerana yang dicari pada awalnya adalah harta,
bukan agama ataupun akhlak. Maka tunggulah hasilnya nanti. Yang memnentukannya
adalaha masa.
Sedari
awal, yang bermain di fikirannya hanya satu, ‘mas kahwin’. Adakah seribu atau sepuluh
ribu atau dua puluh ribu atau tiga puluh ribu. Soal agama tidak penting lagi.
Apalagi akhlak, langsung dipandang sepi. Seharusnya yang dicari dan dipandang
adalah sesuatu yang agama pandang jua, agama dan akhlak seseorang bukan harta
yang dimilikinya atau keluarganya, kerana yang penting adalah perkahwinan yang
akan membahagiakan si perempuan dan membina rumahtangga yang bertakwa kepada
Allah.
Kerana
itulah para salaf mengatakan, “Apabila engkau mengahwinkan anakmu, kahwinkanlah
ia dengan pasangan yang beragama. Jika anakmu disayanginya nescaya ia akan
memuliakannya dan jika tidak disukainya nescaya dia tidak menzaliminya kerana
agama menghalanginya (daripada melakukan kezaliman) dan akhlak mencegahnya. Begitulah
orang yang beragama, mereka berpegang kepada firman Allah yang berbunyi, “Dan
pergaulilah mereka (isteri) dengan baik sekalipun kamu membencinya. Mungkin
terdapat kebaikan yang banyak terhadap apa yang tidak kamu sukai”.
Sesungguhnya
Islam menggesa umatnya untuk
mengahwinkan segera anak-anak perempuan melalui hadis Nabi SAW, “Tiga perkara
jangan dilewatkan: Pertamanya apabila masuk waktu solat, segerakan
menunaikannya. Kedua, apabila berhutang, segera langsaikan dan yang ketiga,
anak perempuan, segera kahwinkan mereka apabila ada lelaki yang sesuai
dengannya”.
Hadis
ini menegaskan bahawa apabila ada lelaki yang sesuai atau sama kufunya,
segerakanlah. Tidak sepatutnya bagi keluarga si perempuan menangguh-nangguhkan
perkahwinan dengan harapan akan datang lelaki yang dapat menawarkan mas kahwin
yang lebih tinggi. Hal ini akan lebih banyak membawa kesan buruk kepada
masyarakat umumnya dan kepada golngan pemuda khususnya. Dengan mas kahwin yang
tinggi, kita sebenarnya membuka jalan haram yang lebih murah harganya dan
tentulah jalan haram itu merupakan jalan yang dipinta syaitan supaya manusia
mengikutinya..
Wahai
kaum muslimin, adalah haram hukumnya kita menangguhkan atau melewatkan
perkahwinan kerana mencari mas kahwin yang tinggi dan sangat berbahagia seluruh
kaum muslimin jika kita mempermudahkan jalan yang halal melalui perkahwinan
supaya golongan pemuda dan pemudi kita dapat bersatu dengan cara yang halal.
Mudah-mudahan inilah yang diredhai oleh Islam dan semoga kita terhindar dari
mengikuti adat jahiliah yang tidak membawa sebarang kebaikan.
Diolah
semula dari fatwa al-Allamah Prof Dr
Yusuf Al-Qardhawi.
Pautan:
http://qaradawi.net/component/content/article/5375.html
0 comments:
Post a Comment