Friday, January 18, 2013

Keterasingan Islam (samb)


'Ghuraba' pencari kebenaran dan pembasmi kebathilan

Suatu kebenaran yang tidak mungkin ditolak bahawa Islam telah bermula dengan dagang atau asing tetapi tidak selamanya begitu. Pernah umat Islam jatuh kelelahan kemudian mereka kembali bangun menonjol, tidak bersembunyi lagi di belakang sekatan-sekatan dunia yang menghalang. Pernah juga ditekan dan diseksa tetapi kemudian bangun membela agama dan dirinya, tidak mahu lagi tunduk kepada sesiapa, hanya pada Allah semata tempat tujunya. Begitulah Islam dan umatnya bergerak dan berpusing, naik dan turun mengikut peredaran zaman dan tempat berdiamnya.

Maka tidak timbul objektif hadis ini adalah untuk tujuan berputus asa terhadap masa depan Islam dan umatnya jika kita benar-benar memahaminya. Hadis ini juga bukanlah bermaksud umat Islam hanya perlu mengambil sikap berserah atau berputus asa sahaja dan adalah mustahil hadis ini menyeru ke arah sikap negatif itu.

Terdapat sebahagian riwayat yang menyifatkan orang Islam yang ‘asing’ ini adalah orang-orang Islam yang memperbaiki umatnya dengan menghidupkan semua sunnah yang telah ditinggalkan oleh manusia dan berusaha menerapkannya dalam masyarakat. Merekalah golongan yang positif, pembina dan pembaharu terhadap agama ini. Mereka bukanlah golongan yang bersifat negatif, penyendiri atau hanya berpeluk tubuh dengan mulut yang terbuka luas mengatakan bahawa segala yang terjadi adalah takdir Allah taala. Kerana itu, mereka tidak akan menggerakkan umat Islam yang mati jiwa dan akalnya atau mengingatkan orang-orang yang lalai daripada tujuan hidupnya.

Mujahadah adalah jalan kesakitan. Berapa ramai
yang sanggup menanggung sakit untuk agama?
Adalah baik sekiranya saya nukilkan apa yang telah ditulis oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah berkaitan hadis ini ketika mana mensyarahkan perkataan Syeikhnya al-Harawi dalam bab ‘Keterasingan’ dari tajuk Manazil As-Sairin Ila Maqamat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nastai’in  di dlam kitab Madarij As-Salikin:

Syeikh al-Harawi  berkata pada bab ‘keterasingan’ berdasarkan firman Allah:

Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada (mengerjakan) kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa. (Surah Nuh, ayat 116)

Imam Ibnu Qayyim telah menghuraikan dan memberi komentar berikut:

Pembuktian dengan ayat ini dalam bab keterasingan ini menunjukkan kedalaman ilmu dan makrifah serta pemahamannya (Syeikh al-Harawi) mengenai ayat-ayat al-Quran. Sesungguhnya orang-orang asing ini adalah orang-orang yang mempunyai sifat-sifat yang telah dinyatakan di dalam ayat di atas. Mereka juga mempunyai sifat-sifat tertentu yang disebutkan di dalam banyak riwayat yang lain, antaranya:

1. Mereka berusaha memperbaiki masyarakat yang telah rosak. (Riwayat Sahl  bin Saad)

2. Mereka yang bertambah iman dan amal ketika mana masyarakat Islam semakin berkurang iman dan    amal mereka. (Riwayat Jabir)

3. Orang yang sanggup menyalahi pegangan dan amalan kaum dan bangsanya. (Riwayat A’masy)

4. Orang Islam yang baik yang jarang dijumpai dalam kalangan masyarakat yang ramai. Ramai pula yang mengingkari arahan dan seruan mereka daripada bilangan yang mematuhinya. (Riwayat Abdullah bin Amr)

5. Orang yang lari daripada masyarakat yang rosak untuk menyelamatkan agama mereka. Mereka ini akan bersama Nabi Isa pada Hari Kiamat kelak. (Riwayat Abdullah bin Amr)

6. Mereka adalah orang-orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah dan mengajarkannya kepada manusia. (Riwayat Kathir bin Abdullah)

7. Orang-orang yang bersembunyi daripada kerosakan masyarakat dan takutkan Allah serta suka melakukan kebaikan. Merekalah orang yang jika hilang tidak dicari, jika ada tidak dikenali. Hati mereka merupakan tempat petunjuk yang mengeluarkan segala fitnah, dugaan dan kesesatan. (Riwayat Nafi’ bin Malik)" 

'Islamophobia', virus yang semakin menular
dalam masyarakat dunia.

        Merekalah golongan terasing yang terpuji dan dinamakan asing kerana bilangan mereka dalam kalangan umat Islam sangat sedikit sekali. Orang Islam dalam kalangan manusia yang ramai adalah asing. Orang yang beriman dalam kalangan umat Islam  yang ramai adalah asing. Orang yang berilmu Islam dalam kalangan orang beriman yang ramai adalah asing. Orang yang mengikuti sunnah-yang tidak memasukkan keinginan nafsu dan bidaah dalam agama- adalah asing. Pendakwah agama yang ikhlas dan sabar atas penentangan puak yang memusuhinya adalah terlebih asing lagi. Tetapi sebenarnya mereka adalah ahli Allah yang sebenar, tiada keterasingan pada pandangan Allah taala, hanya asing pada mata manusia ramai.

      Merekalah orangnya yang menjadi asing kerana Allah, Rasul dan agamaNya walaupun kadang-kala mereka adalah orang yang terkenal dalam kalangan masyarakat sepertimana yang disebut dalam sebuah syair Arab, 

‘Bukanlah orang asing itu orang yang keluar dari tempat tinggalnya, 
                                    tetapi orang asing itu adalah orang yang dikeluarkan dari tempat tinggalnya’.

     Ketika mana Nabi Musa melarikan diri dari Firaun dan orang-orang yang menyembahnya hingga ke Madyan sepertimana yang dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran dalam keadaan baginda berseorangan, keterasingan, ketakutan dan kelaparan. Maka baginda berkata, “Wahai Tuhan, aku keseorangan, kesakitan dan keterasingan”. Maka dijawab kepadanya, “Wahai Musa, orang yang keseorangan adalah orang yang tidak mempunyai teman sepertiku, orang yang sakit adalah orang yang tidak menemui penyembuh sepertiku dan orang yang terasing itu adalah orang yang tiada hubungan antaraku dengannya”.

       Kesimpulannya, mereka ini terasing dalam urusan dunia dan akhiratnya. Tiada yang ingin membantunya dari kalangan masyarakat awam. Merekalah orang yang a’lim dalam masyarakatnya yang jahil. Mereka juga pengikut dan pengamal sunnah dalam kalangan masyarakat yang suka mereka-reka bidaah. Merekalah penyeru kepada Allah dan rasulNya dalam masyarakatnya yang mengagungkan nafsu dan syahwat dan penyeru kebenaran serta pencegah kemungkaran. Waallahu a’lam bi as-sowab.

Diterjemah dan diolah semula oleh Pena Iqbal daripada Kumpulan Hukum dan Fatwa, al-Imam al-Akbar Syeikh Yusuf al-Qardhawi di pautan: http://www.qaradawi.net/fatawaahkam/30/6304--q-q.html

0 comments:

Post a Comment