Wednesday, January 2, 2013

Jom Ber'usrah'!


Assalamualaikum & salam sejahtera.

 Setinggi-tinggi pujian dipanjatkan kepada Allah SWT yang telah memberi kesempatan kepada Kelab Bahasa di bawah kendalian JPIB untuk mengatur langkah dalam medan dakwah dengan program sulungnya iaitu Program Usrah Perdana.

Apa Itu Usrah?

  Perkataan usrah, halaqah, al-liqa, study circle dan lain-lain nama yang sealiran dengannya merupakan perkataan yang biasa sekali menyapa pendengaran telinga kita terutamanya pada zaman moden kini. Nama-nama yang telah disenaraikan itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa konsep usrah atau keluarga ini  adalah berdasarkan kepada penglibatan beberapa individu dalam suatu perjumpaan yang diadakan secara berkala untuk membincangkan pelbagai persoalan dan isu-isu yang dirasakan penting. Jika usrah ini dianggotai oleh ahli akademik, maka perbincangannya lebih menjurus kepada pelbagai bidang akademik. Jika dianggotai oleh mahasiswa, maka kupasannya akan lebih terarah kepada bidang kemahasiswaan. Pendek kata, isi kandungan usrah itu adalah berdasarkan kepada latar belakang mereka yang menganggotainya.

  Usrah kini mula menjadi fenomena dalam masyarakat kini. Jika dahulu, kumpulan-kumpulan usrah ini hanya didapati di sekolah, universiti, institusi, persatuan dan lain-lain yang berkaitan keagamaan, tetapi kini berbeza sekali. Usrah kini telah berjaya mengetuk pintu-pintu penduduk kampung dan bandar, pihak bawahan dan atasan bahkan pelakon dan penyanyi juga mempunyai kumpulan usrah mereka sendiri. Walau berbeza pada nama yang diletakkan tetapi objektifnya hanya satu, iaitu mengenal agama melalui perkongsian ilmu bersama. Sabda Nabi SAW, "Diwajibkan ke atas kamu berada di dalam jemaah kaum muslimin dan pimpinannya".


Rukun dan Prinsip

 Hasil tangan as-Syahid Imam Hasan al-Bana, pemimpim ulung Ikhwanul Muslimin ini menekankan tiga konsep utama iaitu 'Taaruf, tafahum dan takaful' (Saling mengenali, saling memahami dan saling membantu) telah banyak membantu gerakan dakwah untuk bergerak mengubati pelbagai penyakit masyarakat moden. 

Begitu juga digariskan prinsip, "Kebersamaan, kesefahaman dan kebanggaan" untuk menjadi tulang belakang dalam memastikan kejayaan program usrah dalam membentuk ukhuwwah dan sahsiah ahli-ahlinya. Perlu diingat bahawa usrah bukanlah perkumpulan peribadi-peribadi yang 'baik' tetapi ia merupakan perkumpulan mem'baik'kan peribadi. 



Rebut Peluang Ini

  Oleh itu, rebutlah peluang ini untuk bersama-sama ahli Kelab Bahasa dan penasihatnya yang terdiri daripada staf JPIB untuk berusrah dalam memperbaiki diri bersama. Program ini akan diadakan pada hari Sabtu, setiap 2 minggu sekali di kolej INSTEDT dan bagi sesiapa yang berminat, sila hadirkan diri anda untuk taklimat dan pendaftaran pada hari Rabu (9 Jan 2013) di bilik kuliah 9 pada jam 2.30 petang dan jangan lupa untuk menghebahkan kepada rakan-rakan yang berminat.

Sebarang persoalan dan kemusykilan, sila hubungi Us Mohd Taufiq di talian 07-8222 008 samb. 303.

"Generasi Rabbani Sumber Tamadun Insani"

0 comments:

Post a Comment