Saturday, January 5, 2013

Surah al-Fatihah-Gerbang Tasawwur Islam (ii)

Sesungguhnya Dia Ada dalam Diri Setiap Manusia yang Berakal.
  

"Dengan nama Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala   puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai di Hari Pembalasan"

Masih ingatkah tentang ajaran alim ulama kita sewaktu kecil dahulu. Kata mereka, aqidah itu “Membenarkan dengan hati, mengaku dengan lidah dan  mengamalkan dengan anggota badan”. Masih kenalkah kita akan sifat 20 yang wajib kita ketahui? Masih ingatkah kita dengan istilah rububiyyah dan uluhiyyah? Persoalan yang lebih utama, masih ingatkah kita tentang Allah SWT, tuhan yang kita akui keagungannya saban hari dengan lidah tetapi hati kita tidak merasa barang sesuatu pun! Firman Allah SWT:

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat (yaitu) orang-orang yang     lalai dari solatnya".

       Kepercayaan dan keyakinan itu perlu dipelihara baik-baik, diasah dan diasuh, dijadikan ‘tujuan hidup’ hingga akhirnya tidak membelok kepada yang lain dan tidak berbilang, tiada dua dan tidak pula tiga, akan tetapi hanya satu. Dialah Tuhan yang tunggal/esa pada zat, sifat dan afa’al-nya. Diakhiri puji-pujian ini dengan firmanNya, “Dialah penguasa Hari Pembalasan”, penafian terhadap segala-galanya. Penafian rasa takut terhadap makhluk yang lain, rasa risau sekiranya kebaikan kita tidak dibalas dengan sebaiknya manakala kejahatan orang lain berleluasa tanpa keadilan sewajarnya. Ringkasnya, “La takhaf wa la tahzan, inna allaha maa’na”, Janganlah kamu takut dan jangan pula kamu bersedih hati, sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama kamu.

Firman Allah SWT,

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah SWT turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah SWT) bagi kaum yang memikirkan".

Allah SWT tidak menjadikan sesuatu di dunia ini melainkan sebagai bukti wujudnya Dia. Lihatlah, kajilah dan dan fikir-fikirkanlah wahai orang yang berakal! Tujuannya hanya satu, tiada yang lain! Supaya kita dapat melihat diri-Nya di sebalik semua ciptaan ini. Melihat alam dengan serba-serbi keindahan, kebesaran, teratur, seimbang dan harmoni, tergetarlah di jiwa suatu pertanyaan, “Adakah rahsia di sebalik ini semua?”. Orang yang merasa bahawa rahsia itu ada, sentiasa ia berusaha mencari apakah dia, di mana letaknya dan dia tidak akan berhenti sebelum tercapai maksudnya.


   Tetapi bagi sebahagian orang, bukan isi yang hendak dicarinya, cuma terlihat pada pandangannya keindahan luarannya sahaja. Oleh kerana itu, betapa ramai yang mengucapkan, “Oh, alangkah cantiknya alam ini”, tetapi tidak ramai yang mengungkapkan, “Segala puji bagi Allah SWT, alangkah hebatnya pencipta keindahan ini”...bersambung

Disediakan oleh: En Mohd Taufiq Ismail

0 comments:

Post a Comment