Tuesday, January 29, 2013

Muhammad Namanya (iii)


Peperangan Badar


Terkenallah 17 Ramadhan tahun kedua hijrah sebagai ‘Hari Pertemuan Dua Kumpulan’ di medan Badar al-Kubra. Pertemuan kumpulan iman dengan syirik, kumpulan cahaya dengan kegelapan dan kumpulan kebenaran dengan kesesatan. Hari itu hari pemisah antara hak dan batil. Setelah berbelas tahun keadilan manusia tidak menyebelahi mereka, tibalah saat mereka mempertahankan diri, harta, keluarga dan agama mereka sendiri.

          Kehendak Tuhan pasti berlaku. Kemegahan Islam mesti tertegak walau dengan bekal yang sedikit. Pantang menyerah sebelum melawan. Bukan muslim namanya jika takut kepada selain Allah. 300 orang muslim berhadapan 1000 orang kafir musyrik. Tiga kali ganda lawannya. Merekalah model mukmin sejati, mereka merasa banyak walaupun dalam jumlah yang sedikit. Kerana cinta, mereka sedia mati untuk agama, bukan agama yang sedia mati untuk mereka. Tujuan mereka antara dua tiada tiga, menang atau syahid.

        Patah semangat kaum lawan apabila laungan pujian untuk berhala dibalas dengan teriakan, “Allahu Akbar”. Lintang-pukang kaum musyrik berlari apabila lawannya terus menyerang walau hanya dengan pelepah tamar sahaja. Ada pula yang hanya berkaki ayam dan bertangan kosong, bukan berlari pulang ke belakang tetapi menghadap ke hadapan menyerang. Lagak mereka seumpama singa lapar di padang pasir. Tidak ditinggalkan seorang pun daripada lawannya, sama ada dia yang tewas atau lawannya yang tewas, dia tidak peduli. Yang penting baginya jangan agamanya tewas. Kumpulan muslim berperang untuk mati sedangkan lawan mereka berperang untuk hidup. Maka tentulah orang yang inginkan kematian tidak sekali-kali lari daripada mati! Akhirnya kemenangan menyebelahi mereka, bukan mereka yang menang, tetapi agama Islam yang menang. Allahu akbar!

          Kemudian menyusul peperangan demi peperangan sebagai ujian kepada umat Islam. Tetapi dakwah tetap terus berjalan di seluruh semenanjung Tanah Arab kerana dakwah itu bukan dengan peperangan, tetapi peperangan itu satu jalan mempertahankan dakwah. Iman umat Islam terus diuji kerana emas yang bernilai tidak mungkin terhasil tanpa pembakaran dan penguraiannya daripada tanah yang berlumpur. Fikirkanlah!

Tercapai Cita-citanya


Setelah 20 tahun berjuang, berkorban, berperang dan berdakwah, ‘dia’ bersama sahabat-sahabatnya seramai 10 ribu orang kembali ke Mekah, tapak asal kelahiran dakwahnya pada tanggal 10 Ramadhan, tahun 8 Hijrah.

‘Dia’ keluar dari Mekah dahulu secara sembunyi-sembunyi pada suatu malam yang sepi, tetapi pada langkahnya yang terakhir di sempadan Mekah, berjurai jatuh air matanya dan terhiris pilu hatinya kerana di sanalah ‘dia’ dilahirkan, dipelihara dan dibesarkan. Di sanalah tanah kaum keluarga dan teman-temannya. Mana mungkin ‘dia’ berpatah kembali setelah ketentuanNya tiba. Diselitnya suatu azam di hati dan akalnya bahawa ‘dia’ tidak akan kembali ke sana sepertimana ‘dia’ keluar dahulu. ‘Dia’ keluar bukan sebagai pengecut atau pelarian tetapi ‘dia’ keluar untuk membina kekuatan di tempat lain apabila tiada ruang lagi untuknya di tanah air sendiri. ‘Dia’ akan kembali semula dengan kemenangan dan kebenaran. Itu janji dan sumpahnya!

          Allah memperkenankan azamnya. Tercapai juga cita-citanya. ‘Dia’ pulang dengan cahaya Islam untuk melenyapkan gelap kekufuran, jalan kebenaran sebagai penghapus jalan kesesatan dan Tuhan yang Tunggal mengalahkan tuhan yang pelbagai. Berderai semula air matanya, tetapi air mata kegembiraan dan giranglah hatinya berpijak semula di tanah tumpah darahnya, bertemu kaum keluarga dan sahabat handainya. Tiada kezaliman dan pertumpahan darah berlaku, yang ada hanya ketenangan dan keamanan. Diselesaikan dendam bukan dengan pedang tetapi kemaafan. Diselesaikan keributan bukan dengan pertikaian tetapi perdamaian.

         Siapakah ‘dia’ yang telah dibicarakan sedari awal? Siapakah ‘dia’ yang telah menggunakan kasih sayangnya mengalahkan kebencian musuhnya? Siapakah ‘dia’ yang telah memancarkan sinar keimanan kepada Timur dan Barat? Siapakah tokoh ini? Tiada lain, ‘dia’ adalah Muhammad SAW. Ikon yang disebut di dalam al-Quran,
  
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan ‘dia’ banyak menyebut Allah.

Disediakan oleh Pena Iqbal untuk Modul Program Usrah Perdana 1434H/2013M

0 comments:

Post a Comment