Pemuda
Itu
Apabila
menginjak usianya ke angka dua puluh lima tahun, seorang saudagar wanita kaya
dinikahinya buat menjadi teman hidup dan suri hatinya. ‘Dia’ menyangka dengan
pernikahahn itu, hatinya yang resah akan kembali tenang. Namun, hasilnya
mengecewakan. Hati dan akalnya meraung gelisah. Ada sesuatu yang dicari oleh
jiwanya tapi tidak terlihat pada matanya. ‘Dia’ mula mencari jawapan kepada
‘sesuatu’ itu.
Dimulai
dari pintu rumah, kakinya dihayun melangkah ke arah yang disenangi hatinya.
Kakinya sampai di pasar, tetapi hatinya tidak peduli, bukan itu tempat
tujuannya hingga lalu pula ‘dia’ di celahan berhala yang besar-besar, tidak
juga mahu berhenti. Sampai di sebuah gua kecil yang terletak di atas bukit yang
curam di pinggiran kota, kaki dan hatinya tiba-tiba berhenti. Rupanya itulah
tempat yang dicari, namanya Gua Hira’. Biasanya manusia tenang dalam keramaian
orang dan keriuhan suasana, berbeza pula dengan lelaki ini, hati dan akalnya
tenang di sana, di dalam kegelapan gua dan suasana yang jauh daripada keriuhan
manusia.
Masa
mudanya habis dengan bertafakur di gua itu mencari jawapan buat persoalan
hatinya. Selama bermalam-malam ‘dia’ tinggal di sana dengan sedikit bekalan
dari isteri tercinta. Setelah habis bekalan, baru ‘dia’ pulang ke rumah. Begitu
setia ‘dia’ menanti puncak ketenangan dan kebenaran muncul kepadanya. Dua tahun
telah berlalu dengan rutin itu.
Pada
tanggal Isnin tahun 610 Masihi, Tuhan menjawab penantian itu. Tika itulah turun
surah pertama dari langit yang tinggi, dibawa oleh utusan Allah yang agung,
Jibril a.s.
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu
yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah,
dan Tuhanmulah yang Maha pemurah yang mengajar (manusia) dengan perantaraan
kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Diturunkan
kepadanya lima ayat sebagai pedoman untuk ‘dia’ mula mengenal diri dan
Tuhannya. Puncak ketenangan yang dicarinya selama ini rupanya bukan terletak
pada tempat dan suasana, tetapi di dalam dirinya sendiri, di dalam jiwa, di
dalam hati sanubari. Tidak cukup dengan itu, diajarkan pula bagaimana untuk
meneguhkan ketenangan jiwanya melalui solat malam dan bacaan al-Quran dengan
firmanNya,
Hai
orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari,
kecuali sedikit (daripadanya), seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu
sedikit atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah al-Quran itu dengan
perlahan-lahan. Sesungguhnya kami akan menurunkan kapadamu perkataan yang
berat. Sesungguhnya bangun di waktu
malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.
‘Dia’
kembali terjun dalam masyarakat setelah ketenangan ditemuinya dan kekuatan hati dan akalnya tidak berbelah bahagi lagi.
Apatah lagi ‘dia’ dibekalkan dengan sekelumit pesan daripada Tuhannya, “Hai
orang yang berselimut, bangunlah dan berilah peringatan! dan agungkanlah Tuhanmu!
Bersihkanlah pakaianmu dan tinggalkanlah perbuatan dosa. Janganlah kamu memberi
(dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak”. ‘Dia’ melangkah
bukan lagi sebagai pemuda biasa tetapi sebagai rasul penyelamat manusia. ‘Dia’
tidak sanggup lagi melihat kaum dan bangsanya menyembah berhala atau hidup
dalam keadaan jahiliyyah yang hina. ‘Dia’ ingin mereka semua mengenali Tuhan
yang Esa, seterusnya hidup dan mati dalam cahaya.
Hijrah
Detik
awal Muharram bersamaan tahun 622 Masihi menjadi titik tolak peristiwa
besar ini iaitu peristiwa hijratur rasul (perpindahan Rasulullah SAW) ke negeri
Yathrib yang kemudiannya dikenali sebagai Madinah. Tepat 13 tahun selepas
kerasulan dan dakwahnya, turun wahyu memerintahkannya untuk berhijrah demi
untuk menjaga aqidah, membina kekuatan ummah dan menegakkan syariat Islamiyyah.
Dari sanalah akhirnya Madinah menjadi model negara Islam yang sebenar.
13 tahun lamanya, ‘dia’ dan
sahabat-sahabatnya ditempa oleh Allah SWT dengan pelbagai jenis ujian. Hati
diuji dengan penderitaan, iman diuji dengan cubaan dan tubuh juga diuji dengan
penyiksaan. Ujian adalah saringan untuk membezakan iman yang benar dan palsu
serta meningkatkan ketahanan diri dan keimanan dalam menghadapi pancaroba
kehidupan. Tiada suatu pun perjuangan di dunia ini melainkan perlu ada
pengorbanan untuk mencapai hasil akhirnya. Jika pengakhirannya manis,
tersenyumlah pejuang itu dan jika pengakhirannyam pahit, puas juga jiwanya,
tiada suatu sesalan yang tersisa di hatinya.
Kedatangannya
ke Madinah disambut seperti hari pertama ‘dia’ dilahirkan, penuh kegembiraan
dan keriangan seolah-olah rahmat turun di mana sahaja ‘dia’ berpijak. Masanya
tidak dilewatkan dengan urusan lain melainkan menegakkan syiar Allah yang
paling utama iaitu membina masjid. Suatu tempat yang baik dipilih dan
berdirilah masjid pertama di Madinah dikenali sebagai Masjid Nabawi, hasil kerja
tangan Muhajirin dan Ansar. Pembinaan masjid ini melalui gotong-royong antara
dua kaum (Aus dan Khazraj) ini secara tidak langsung memautkan tali persaudaraan
antara mereka. Dahulu pantang berjumpa, pasti peperangan meletus, tetapi
setelah hijrah berlaku, persaudaraan menjadi pegangan mereka. Tiada lagi
kebencian, tiada lagi perbezaan dan tiada lagi perselisihan. Yang ada hanyalah
persamaan dan perpaduan Islam...bersambung....
Disediakan oleh Pena Iqbal untuk Modul Program Usrah Perdana 14/34H/2013M
0 comments:
Post a Comment