Sunday, December 23, 2012

Salam Perkenalan




Bismillahhirrahmanirrahim, ahlan wasahlan dan selamat datang ke blog Jabatan Pengajian Islam & Bahasa, Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT). Blog ini adalah di bawah kendalian staf jabatan untuk berkongsi isu semasa, pengalaman  dan  survival Jabatan Pengajian Islam & Bahasa (JPIB).


Sebagai permulaan, elok kiranya diperkenalkan bahawa mulai sesi Jun/Julai 2012, beberapa program baru telah ditawarkan di INSTEDT. Salah satu program baru tersebut adalah Diploma Pengajian Islam Kontemporari. Melalui program ini, para pelajar akan mempunyai peluang dan kelebihan yang tiada pada program selainnya. Melalui kursus-kursus yang diajar secara teori dan praktikal oleh para pensyarah yang berpengalaman  sepanjang tempoh pengajian, pelbagai bidang kerjaya yang dicita-citakan dapat diceburi, bukan sahaja di institusi-institusi keagamaan bahkan di pelbagai sektor awam dan swasta.

          Program Diploma Pengajian Islam Kontemporari merupakan program yang berbeza dengan program-program pengajian Islam yang telah dijalankan di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Program ini akan mendedahkan kepada pelajar beberapa kursus asas pengajian Islam yang digabungkan daripada sistem turath (silam) yang menekankan konsep adab dan kebersihan jiwa dan sistem moden yang menekankan konsep pengajaran dan pembelajaran yang efisyen, kreatif dan inovatif di samping tidak mengabaikan keperluan semasa. Kursus-kursus seperti Bahasa Arab, Balaghah, Fiqh dan Usul Fiqh, Pengkajian Al-Qur'an dan Hadis, Sejarah dan Tamadun Islam, Ekonomi Islam, Komunikasi dan Dakwah Islamiyyah dan Pemikiran Islam Semasa menjadi teras kepada program ini. Pendedahan pengetahuan dan penguasaan Bahasa Inggeris, teknologi maklumat, pengurusan perniagaan, sistem perakaunan, perundangan Islam dan sains dalam Islam turut disajikan.

Ilmu dan tarbiyah digabungkan untuk melahirkan mukmin profesional
        Pendekatan yang diambil bagi menghasilkan graduan profesional dan serba boleh adalah melalui penerapan kemahiran insaniah dan pembinaan jati diri muslim melalui pergerakan aktiviti persatuan, kem ibadah tahunan, usrah, dakwah profesional, khidmat masyarakat dan latihan industri. Pendekatan ini diterapkan kepada mereka bagi membentuk modal insan yang berkeperibadian mulia, cekap, berinovasi, berkualiti dan proaktif dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dengan kemajuan industri di samping membantu dalam menggerakkan perekonomian negara dan memajukannya, selaras dengan aspirasi negara dan falsafah pendidikan negara. Program ini juga memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam mendalami Islam sehingga mereka mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran kemajuan dunia kini yang tidak bertepi.
 "Generasi Rabbani Sumber Tamadun Insani"

0 comments:

Post a Comment