Saturday, January 26, 2013

Muhammad Namanya


Muhammad Namanya

     Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Tuhan, Pemilik Sekalian Alam. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhamad SAW serta kesejahteraan kepada para kerabat dan sahabat baginda radhiyallahua’nhum. Firman Allah SWT,

Tiadalah kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.

Kira-kira pada tahun 570 Masihi dahulu, terdapat sebuah lembah di penjuru bumi, Makkah namanya. Tiada siapa yang tahu mengenai asal-usul wujudnya, hanya kata setengah orang, tempat itu tempat berkat dan tempat ibadat orang-orang dahulu kala. Namun, setelah berlalu beberapa abad lamanya, lembah tersebut menjadi tempat berkumpul segala jenis kegelapan dan kekotoran.

 Masyarakat yang hidup di sekelilingnya bukan lagi memperniagakan benda bahkan manusia juga dijadikan modal perniagaannya. Kaum yang lemah ditekan manakala kaum yang kuat mengambil kesempatan. Berhala-berhala didirikan sebanyak mungkin, anak-anak perempuan dibunuh dan diperlecehkan, permusuhan dan kezaliman menjadi hidangan harian dan peperangan sebagai medan pertarungan bagi yang mengaku jantan. Di lembah yang sama, dalam kegelapan malam yang sepi menanti kehadiran bulan, saat itu, lahirlah seorang bayi yang bakal menjadi rasul akhir zaman.


          Ibunya, Aminah melahirkannya tanpa sebarang kesakitan dan kesulitan, tanpa tangisan dan air mata. Kelahirannya diiringi cahaya Tuhan. Keduanya saling berebutan untuk keluar dari rahim Aminah. Apabila ‘dia’ keluar, ‘dia’ diam sahaja sambil wajahnya menghadap ke langit dunia tidak seperti bayi lainnya yang menangis berteriakan. Tiba-tiba ‘dia’ bersin seketika menghirup udara yang berlumba masuk ke dalam hidung dan dadanya. Jirannya, Fatimah ath-Thaqafiyyah berdiri kaku di halaman rumah kerana menyangka bulan dan bintang telah gugur ke dunia. Belum pernah matanya melihat pancaran cahaya yang gilang-gemilang seperti ini sebelumnya. Tidak lama kemudian, jatuhlah berhala-berhala dari tempatnya, ada yang sujud ke bumi dan ada pula yang tersungkur rosak binasa.

Tidak cukup keajaiban di lembah itu sahaja, Tuhan ingin menunjukkan rencanaNya di seluruh dunia. Empayar Rom yang terkenal hebat, tergoncang kerana kelahirannya. Empat belas tiang seri mahligai Kisra runtuh mencium bumi sebagai tanda awal kehancurannya. Api besar kerajaan Parsi yang diagung-agungkan padam sama sekali.  Telah seribu tahun api itu bertahan, tidak  pernah ia padam walau ditiup taufan besar mana pun, tetapi sinar cahaya kenabian dan kebenaran telah mengalahkannya. Pendeta-pendeta ahli kitab, yang berdiri jatuh terduduk dan yang tidur terlompat bangun. Mulut laju bertasbih dan mata terkebil-kebil melihat ke langit. Mengertilah masing-masing bahawa kelahiran rasul akhir zaman telah tiba saatnya.

Kanak-Kanak Itu


     Sejak kecil, ‘dia’ telah berbeza. Bukan hanya namanya, bahkan juga sifat-sifatnya. Belum pernah dahinya tunduk sujud kepada berhala sembahan nenek moyangnya. Hanya pandangan matanya yang tertuju ke arah berhala-berhala itu tetapi semakin dilihat semakin sakit pula akalnya dan kelirulah hatinya mencari jawapan tentang Tuhan itu. Kanak-kanak itu hidupnya hanya bersama ibu kerana bapanya telah lama tiada. Setelah besar sedikit, sempat juga ‘dia’ menziarahi kubur bapanya dan siapa sangka, itulah perjalanan terakhir bersama ibu kesayangannya. Ibu pula meninggalkannya. Menangis ia keseorangan mengenang nasib diri, kepada siapa lagi ia hendak menumpang teduh?

Setelah wafat ibunya, datuk pula memeliharanya dengan penuh curahan kasih. Seluruh kota Makkah tahu, itulah cucu kesayangan Abdul Muttalib. Jangankan dipukul, ditinggikan suara pun belum pernah. Belum puas bermanja, tiba pula tarikh wafat datuknya. ‘Dia’ kembali yatim, menumpang hidup bersama sepupu-sepupunya di bawah naungan rumah Abu Talib, bapa saudaranya. Jatuh pula kasih sayang Abu Talib kepadanya melebihi anak-anak sendiri yang berjumlah sepuluh orang itu.

Adat orang menumpang, tidak betah punggungnya duduk diam di dalam rumah. Pagi-pagi lagi ‘dia’ telah keluar mengembala kambing di sekitar Makkah, mengukur setiap inci tanah merenungi alam sekelilingnya. Setelah puas, petangnya baru ‘dia’ kembali. Begitulah sehari-hari. Setelah menginjak remaja, ‘dia’ mengikuti rombongan perniagaan bapa saudaranya keluar kota. Sambil belajar berniaga, ingin juga ‘dia’ mengenal budaya dan orang luar daerahnya.

Begitulah rancangan Tuhan berjalan. Dibiarkan ‘dia’ berdikari sedari kecil agar tahan jiwanya diuji di kemudian hari. Dibiarkan ‘dia’ mengembara sampai longlai dua kakinya agar ‘dia’ tidak takut berhijrah apabila tiba ketikanya dan dibiarkan ‘dia’ berniaga agar terbina peribadinya, tanggungjawab, jujur dan amanahnya.........bersambung........http://jabatan-pengajian-islam-instedt.blogspot.com/2013/01/muhammad-namanya-ii.html

Disediakan oleh Pena Iqbal untuk Modul Program Usrah Perdana 1434H/2013M

0 comments:

Post a Comment