“Terasingnya Islam”
بدأ الإسلام غريبًا، وسيعود غريبًا كما بدأ، فطوبى للغرباء"
“Permulaan Islam adalah asing dan ia akan kembali asing
di kemudian hari. Maka beruntunglah orang yang terasing itu”
Kedudukan Hadis
Hadis ini adalah sahih pada sanad tanpa percanggahan pendapat
dari kalangan ulama hadis. Hadis ini telah diriwayatkan oleh ulama yang
muktabar dari beberapa sahabat Nabi r.a, antaranya:
1/ Imam Muslim meriwayatkan hadis ini daripada
Abu Hurairah r.a, dan dalam riwayat yang lain daripada Ibnu Umar tanpa lafaz
فطوبى للغرباء.
2/ Imam Tirmizi meriwayatkannya daripada Ibnu
Masu’d r.a,
3/ Ibnu Majah meriwayatkannya daripada Abu
Hurairah, Ibnu Masu’d dan Anas r.a,
4/ Imam Tobroni pula meriwayatkannya daripada Salman,
Sahl Bin Saa’d dan Ibnu Abbas seperti yang terdapat di dalam kitabnya Jami’
As-Shoqir.
Ini menunjukkan bahawa tiada lagi pertikaian kesahihan
hadis dari segi sanad dan yang menjadi perbincangan utama di sini hanyalah pada
masalah ‘matan’ iaitu kandungan hadis.
Maksud Hadis
Sangat jengkel sekali apabila kebanyakan hadis yang
berkaitan dengan ‘akhir zaman’ atau yang digolongkan dalam bab hadis-hadis
fitnah akhir zaman dan tanda-tanda kiamat seringkali difahami oleh sebahagian
manusia untuk menanam sifat putus asa daripada meneruskan kehidupan harian dengan
sebarang pekerjaan atau amalan yang membawa kemajuan dan perubahan dalam
kehidupan mereka.
Mana mungkin tergambar dalam fikiran kita
bahawa Rasulullah SAW menyeru umatnya untuk bersikap putus asa dalam hidup dan membiarkan
kejahatan berleluasa sebagai gantinya dan meninggalkan kemungkaran berakar umbi
dalam masyarakat tanpa sebarang usaha membaiki dan menegakkan kebenaran (sedangkan
Nabi sendiri adalah utusan Allah yang membawa perubahan-pent). Bagaimana mungkin
tergambar pemikiran itu sedangkan Rasulullah SAW sering mengajak manusia untuk
bekerja memperbaiki dan membangunkan kehidupan dunia hingga ketentuan Tuhan itu
datang iaitu kematian sepertimana yang dijelaskan oleh sebuah hadis, “Sekiranya berlaku kiamat sedangkan ada di tangan kamu sebiji
benih, tanamlah!” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya dan Imam
Bukhari di dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad dari Anas r.a)
Jika sebiji benih sahaja menjadi perhatian Allah, bagaimanakah pula dengan amalan manusia?! |
Hadis ini memerintahkan manusia berusaha
untuk menanam biji benih yang ada di dalam genggaman jari tangan kita walaupun
kita tidak akan sempat mendapatkan hasil buahnya pada masa hadapan. Jika ini
yang dituntut dalam hal dunia, bagaimana pula pandangan anda terhadap hal agama
yang tentulah lebih besar dan lebih mulia kesannya? Kita mesti berusaha kerana
agama, untuk agama dan demi agama hingga hembusan nafas yang terakhir keluar
dari tubuh kasar ini.
Perkataan "غريبًا" boleh diterjemahkan dengan keterasingan atau
keanehan. Tetapi yang lebih bersesuaian dengan maksud hadis ini adalah ‘keterasingan’
bukan keanehan dengan dalil di akhir hadis disebut ‘Bertuahlah orang yang
terasing itu’. Yang dimaksudkan dengan keterasingan itu adalah keterasingan
Islam yang diimani oleh jiwa kaum muslimin dan yang diserukan oleh lidah mereka.
Hal ini dapat difahami daripada
kebanyakan hadis seumpama hadis "كن في الدنيا كأنك غريب", Hiduplah kamu di
dunia sepertimana orang asing (yang akan kembali ke negara asalnya).
Maha benar perkataan
rasulNya. Keadaan ini telah berlaku pada zaman dahulu dan terus berpanjangan
hingga dunia hari ini. Islam terasing di dalam negara-negara Islam dan dalam
kalangan umatnya sendiri hinggakan golongan yang menyeru ke arah Islam yang
sebenar akan menderitai pelbagai jenis penyeksaan dan penganiayaan atau mungkin
berhadapan dengan tali gantung dan pembunuhan di dalam usaha dakwahnya yang
murni. Seringkali kesan buruk ini datang dari tangan pemerintah yang zalim dan kadang-kala
timbul dari masyarakat yang dangkal dan telah jauh tersesat.
Adakah keterasingan ini umum
dan berterusan atau khusus pada hal-hal tertentu dan tidak berpanjangan? Persoalan
ini dijawab oleh Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah. Keterasingan Islam ini hanya berlaku
pada sebahagian negara Islam sahaja dan tidak berlaku pada negara yang lain
atau hanya berlaku pada tempoh masa tertentu dan bangsa tertentu sahaja.
Hadis ini pada hakikatnya
menceritakan tentang pusingan dan aturan yang berlaku dalam Islam, kadang-kala
ia di atas dan kemudian berpusing pula ke bawah dan kadang-kala tinggi kemudian
turun pula aturannya ke rendah. Keadaan yang berlaku ini telah berlaku juga
kepada seruan dan agama yang lain. Dahulu kuat kemudian lemah, dahulu
berkembang pesat kemudian menguncup kembali, dahulu bertambah kemudian
berkurang, semuanya hanya mengikut sunnatullah (ketetapan Allah) yang
sekali-kali tidak akan berubah. Begitu juga Islam, ia perlu tunduk kepada ketetapan
Tuhan yang adil kepada semua agama, ideologi dan manusia.
Ringkasnya, hadis ini menceritakan
tentang penguncupan Islam dan umatnya pada tempoh masa dan zaman tertentu sahaja tetapi
keadaan ini tidak lama, ia akan bangkit daripada kelemahan, kemerosotan dan
keterasingan itu sepertimana yang telah berlaku pada permulaan dakwah Islam dahulu…bersambung
Diterjemahkan
oleh En Mohd Taufiq Ismail daripada Kumpulan Hukum dan Fatwa, al-Imam al-Akbar
Syeikh Yusuf al-Qardhawi di pautan: http://www.qaradawi.net/fatawaahkam/30/6304--q-q.html
0 comments:
Post a Comment