Sekali tahun beralih angkanya, berubah jugalah orang-orang yang meraikannya. Sering kali dikaitkan orang tahun baru dengan azam dan kesungguhan baru. Azam yang lepas, ada yang tercapai dan ada yang tidak sempat digapai. Maklumlah kita hanya manusia yang serba daif tidak terlepas daripada kekurangan. Mana mungkin tangan yang kerdil ini dapat menggapai dan mengubah takdir Tuhan yang Maha Agung yang telah menetapkan segalanya.
Begitu juga bersempena tahun baru ini, azam JPIB yang telah ditanam bermula tahun baru hijrah pada 1 Muharram 1434 bersamaan 15 Disember 2012 lalu turut diteruskan. Tiada kata yang dapat diucapkan melainkan ucapan setinggi-tinggi pujian kepada Allah SWT yang telah memanjangkan hayat kami, para staf JPIB bagi sama-sama bergerak untuk melahirkan pelajar Dip Pengajian Islam yang berkualiti dan berketerampilan tinggi di samping mempelbagaikan program keislaman untuk semua pelajar INSTEDT.
Sepertimana yang disebut oleh sebuah hadis Rasulullah SAW, "Islam ini seperti sebuah kapal. Sekiranya pihak yang berada di bahagian atas kapal itu menjaganya dengan baik tetapi pihak yang berada di bahagian bawahnya dahaga lalu menebuk dinding kapal tersebut, nescaya tenggelam jua kapal tersebut bersama semua pihak yang berada di dalamnya".
Oleh kerana itu, adalah suatu kewajipan kepada staf JPIB untuk merangka dan melaksanakan program yang berkaitan demi kebaikan bersama. Walau siapa pun mereka, walau apa pun program yang mereka pelajari, walau tidak sama pemikiran dan tingkah laku mereka, tetapi mereka tetap Islam yang memerlukan suatu pihak yang membimbing mereka ke arah kebenaran. Ayuh bersama kita kenal Islam sebagai agama yang lurus dan menyenangkan, agama yang menyemai kecintaan bukan kebencian dan agama yang mementingkan perpaduan bukan perbalahan.
Inilah azam staf JPIB, jika tidak semua pun, insyaallah sebahagian besar memilikinya. Manakala bakinya tetap mempunyai azam yang murni yang hanya diketahui oleh diri sendiri. Bagaimana pula azam anda di luar sana?
Angan-angan sahaja tidak cukup! |
Azam dan angan-angan?
Kesal juga kadang-kala apabila ramai manusia keliru antara azam dan angan-angan. Azam tanpa usaha, itulah angan-angan namanya. Azam tanpa sebarang tindakan dan perancangan tiada gunanya. Setakat mahu berangan-angan kosong, tidak perlu ke pusat pengajian tinggi, duduk sahaja di tepi jalan atau longkang dan beranganlah di sana. Bau busuk longkang dan kesibukan jalan pasti hilang dek angan-angan kosong sedangkan azam itu perlu diusahakan dengan kesedaran bukan khayalan! Azam perlukan pencarian bukan penantian!
Kita mesti berani kerana kita ada Islam sebagai agama, Muhammad sebagai rasul dan Allah sebagai Tuhan. Kalau telah terkumpul semuanya ini, apa lagi yang perlu kita takuti. Setiap hari sebenarnya kita lalui hidup ini dengan keberanian. Bukankah hidup ini rahsia Allah? Tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku hari ini, tapi hari ini telah menjadi hari lalu kerana kita berani menghadapinya walau sesusah manapun.
Berani
Bukankah kita dididik melalui sukan untuk menanam keberanian dalam hati. Bukan sahaja berani menerima kemenangan tetapi berani juga menerima kekalahan. Tidak lekas gembira terlonjak-lonjak tatkala beroleh keuntungan dan tidak pula teresak-esak kesedihan ketika datang malapetaka. Begitu juga orang yang berani berniaga, harus juga berani bertemu kerugian. orang yang berani memanjat, haruslah juga berani menghadapi kejatuhan. Kejatuhan adalah biasa dalam hidup. Tetapi bagi orang yang menunggu, akan bangunkah lagi sesudah jatuh. Keberanian bukan hanya saat menyerang malah nerani juga ketika bertahan. Keberanian bukan sahaja ketika mendaki bahkan juga waktu menurun.
Oleh kerana itu, marilah sama-sama kita mulakan langkah dengan keberanian, buah daripada keimanan seorang muslim untuk menanam azam dan berusaha melaksanakan cita-cita tersebut dengan sebaiknya kerana sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya Allah sangat kasih kepada seseorang dalam kalangan hamba-hambaNya yang apabila ia melakukan sesuatu usaha, ia berusaha untuk memperbaiki dan memperelokkannya (tekun)".
0 comments:
Post a Comment