Monday, March 4, 2013

Kem Ibadat Kali Pertama Kelab Bahasa



Assalamualaikum,
Limpahan pujian kepada Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Selawat dan salam atas junjungan besar Rasulullah SAW, ahli keluarga dan para sahabat serta umat terkemudian yang sentiasa menurut jejak langkah Baginda dalam meninggikan kalimah Allah di dunia ini.

Tanggal 1 dan 2 Mac 2013 yang baru berlalu, Kelab Bahasa telah menganjurkan Kem Ibadat buat pertama kalinya kepada para pelajar Diploma Pengajian Islam (DPI). Seramai 9 orang pelajar telah melalui kem ini dengan jayanya. Aktiviti berbentuk santai dan ringan sengaja dibentuk untuk merapatkan jurang perbezaan antara sesama pelajar DPI dan mencari jalan persamaan yang wujud bagi mengukuhkan jemaah muslim di INSTEDT tercinta ini.

Pentazkirah sedang membincangkan dengan bersemangat.
Peserta lelaki khusyuk mendengar penerangan.
Peserta wanita yang terlibat

Bertempat di Masjid as-Syifa’, Bandar Penawar (BP), para pelajar telah memulakan kem ini dengan solat Maghrib secara berjemaah dengan ahli kariah Bandar Penawar untuk membiasakan mereka bertemu dan berkumpul bersama penduduk tempatan. Majlis diteruskan dengan tazkirah dari Saudara Irwin bin Abidin, jemputan khas dari Jabatan Pengurusan & Perakaunan untuk membincangkan tajuk, ‘Berjemaah Lebih Baik’. Tazkirah yang dijalankan secara bersahaja ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membuka minda para peserta untuk turut serta membentuk jemaah atau kesatuan yang kuat antara mereka.

Dua aktiviti tidak dapat dijalankan atas sebab-sebab yang tidak disengajakan iaitu, night walk dan qiyamullail. Program hanya diteruskan pada keesokan harinya dengan solat Subuh secara berjemaah dan disajikan dengan tazkirah dari pegawai agama dari Majlis Agama Islam Johor dengan tajuk ‘Hidup Untuk Beribadat’. Tazkirah kedua menyusul selepas itu dengan tajuk ‘Iqra’:Mencapai Kegemilangan Ilmu’ yang disampaikan oleh Saudari Aisha bt Toasing dari Jabatan Pengurusan & Perakaunan. Perbincangan dan perkongsian di dalam tazkirah ini diharap dapat memberi motivasi kepada peserta untuk terus mencapai kecemerlangan ilmu di samping menyusun kehidupan sebagai pelajar dengan lebih baik.


Tepat jam 8.45 pagi, peserta telah berhimpun di Dataran Masjid untuk meneruskan acara seterusnya iaitu aktiviti merentas desa dan treasure hunt. Aktiviti yang diselang-seli dengan pelbagai tugasan yang menarik telah berjaya membina kerjasama yang padu antara para peserta dan mencambahkan buah fikiran masing-masing dalam menyelesaikan tugasan yang diamanahkan.
Mencuba nasib dalam aktiviti 'Titian Hidup'.

Belajar menyelesaikan masalah.
Mencari arah jalan

Jalan mati di belakang. Kembali ke pangkal jalan.


Disediakan oleh: Pena Iqbal


0 comments:

Post a Comment