Wednesday, March 13, 2013

Majlis Cinta Rasul, Bandar Penawar


Bandar Penawar: Kelab Sukan & Rekreasi Komuniti Bandar Penawar telah menganjurkan Malam Cinta Rasul Peringkat Pengerang 2013 pada hari Selasa tanggal 12 Mac 2013. Penceramah jemputan pada malam tersebut adalah Yang Mulia Habib Ali Zainal Abidin dengan tajuk, “Wasatiyyah Toggak Kesejahteraan Ummah”.

Habib Ali Zainal Abidin bersama rombongan beliau
Kegembiraan jelas terbayang di wajah orang ramai yang dapat menatap wajah para habaib secara live dan tidak sedikit juga yang mengambil berkat dari beliau dengan asbab keturunan beliau yang mulia, keturunan nabi besar Baginda SAW.


Sedikit rasa kesedihan dan terkilan menyelinap ke celah ruangan hati yang sedang berbunga apabila melihat ramai yang datang adalah pihak luar. Kebanyakan yang hadir adalah dari kawasan Pengerang dan felda-felda berdekatan tetapi orang setempat melepaskan peluang untuk turut serta dalam program bercorak keagamaan seumpama ini.

Bacaan qasidah dari guru-guru sekolah agama kawasan Kota Tinggi
Namun, sekalung tahniah tidak lupa untuk diungkapkan buat pihak pengurusan sekolah-sekolah berdekatan yang telah mengambil inisiatif untuk menghantar para pelajar mereka mengikuti program yang bermanfaat ini. Tidak hanya ceramah yang menyentuh isu-isu semasa sahaja dibentangkan malahan dendangan qasidah, selawat dan marhaban yang menyentuh dan menyuburkan cinta kasih kepada Rasul juga diperdengarkan.

Semoga keberkatan ilmu disusuli pula dengan amal yang istiqamah terus memayungi semua hadirin dan hadirat yang hadir pada malam tersebut.

Barisan pelajar INSTEDT bergambar bersama Yang Mulia Habib Ali Zainal Abidin
Suka juga diingatkan kepada para pelajar INSTEDT  untuk sentiasa mendampingi majlis-majlis ilmu seumpama ini dan bergerak bersama para ulama untuk mendapat keberkatan ilmu dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. 

Masih terngiang-ngiang di pendengaran saya pesanan guru mulia kami semasa di seberang laut dahulu, Syeikh Yusri, seorang ulama dan guru besar  hadis di Masjid al-Azhar, katanya, “Betapa ramai orang mencari kejayaan dalam ilmu dan hidup mereka dengan usaha semata tetapi akhirnya menderita pada kesudahan hidupnya, betapa sedikit pula orang mencari kejayaan dalam ilmu dan hidup mereka dengan adab semata dan akhirnya berbahagia sepanjang hidupnya” dan “Jangan sering memberi alasan kerana alasan adalah senjata orang malas”. Cukuplah dua pesanan ini untuk orang yang mahu berfikir dan beramal dalam hidupnya. 

Waallahua’lam.

Disediakan oleh: Pena Iqbal

0 comments:

Post a Comment