Tuesday, February 26, 2013

Program Akhir Bulan Februari


Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh,

Segala pujibagi Allah, Tuhan yang Maha Mencintai hamba-hambanya dan Maha Dicintai oleh orang-orang yang mengenaliNya dengan sebenar-benar. Puji dan syukur dipanjatkan kepada rasul junjungan mulia, Rasulullah SAW yang telah membawa panji seruan Islam ke serata dunia dengan satu tekad, mengembalikan manusia daripada penyembahan sesama manusia ke  arah penyembahan kepada Tuhan manusia.

            Pada minggu terakhir bulan Februari 2013, jadual INSTEDT umumnya dan Jabatan Pengajian Islam & Bahasa khasnya telah dipadatkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan buat mengisi rongga kosong di hati manusia dan pelajar-pelajar yang beriman kepada Allah dan mencintai RasulNya. Tiada yang dapat mengisi kekosongan itu melainkan dengan mencintaiNya dan rasulNya.

            Bermula pada tanggal 23 Februari 2013, pelajar jurusan Diploma Pengurusan Pejabat & Teknologi telah menganjurkan kursus sembelihan ayam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor bagi memberi pendedahan kepada golongan pelajar untuk mengetahui, memahami di samping mempraktikkan kaedah sembelihan yang betul menurut pandangan syarak.

Mohd Aizad Abdullah, antara pelajar Kelab Bahasa yang terlibat.

             Seramai 6 orang pelajar dari Diploma Pengajian Islam telah diberi peluang menyertai majlis yang bermanfaat ini. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar JPIB untuk memahami secara praktikal dengan lebih jelas malahan dapat membentuk jaringan ukhuwwah Islamiyyah yang baik dan mesra bersama para pelajar dari jurusan lain.

Wakil Kelab Bahasa, Nor Hayati Ali dan
Siti Suhaila Hamzah
Antara hadirin yang memeriahkan majlis
             Pada 24 Februari 2013, iaitu pada keesokan harinya, seramai 186 orang pelajar beserta 5 orang pegawai pengiring telah bertolak ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menyambut maulidur rasul di sana dengan tema ‘Gema Cinta Rasul dari Selatan’. Program yang melibatkan 4 buah bas dan sebuah van INSTEDT telah disewa khas oleh Kelab Bahasa (kelab di bawah naungan JPIB) untuk membawa rombongan pelajar yang menyahut cinta rasul mereka dengan sokongan dan dukungan yang tidak berbelah bagi telah tiba di UTM pada jam 9 pagi dan pulang pada jam 1.00 pagi.

Antara pelajar dan pegawai pengiring yang terlibat.
Gambar ketika berhenti di R&R Layang untuk sarapan pagi
               Program yang menetengahkan pelbagai kaedah dakwah seperti forum, talaqqi, tausiyyah dan qasidah telah berjaya sedikit sebanyak memberi kesan dan kesedaran para pelajar terhadap kepentingan dan kecintaan Rasulullah SAW terhadap mereka. Antara selebriti dan pendakwah yang telah dijemput adalah Brother Shah Kirit, Ustaz Don Daniyal, Imam Muda Asyraf, Syeikh al-‘Alim al-Muhaddith al-Faqih Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Habib Ali Zainal Abidin, Hafiz Hamidon dan kumpulan nasyid al-Mawlid untuk bersama-sama menjayakan program ini.

Tausiyyah disampaikan oleh
Habib Ali Zainal Abidin                                       
Pegawai pengiring. Dari kiri: Cik Nur Farrah,
Cik Syahrulniza, Cik Suhaily & Cik Sri Arjuna

Forum: Dari kiri, Bro Shah Kirit, Us Don Daniyal dan Imam Muda Aysraf
Talaqqi Perdana bersama Syeikh
Muhammad Nuruddin
Bacaan qasidah di Masjid UTM
              Pada hari Isnin, 25 Februari 2013, bertempah di Tenggaroh 5 dengan tema maulidur rasulnya ‘Tenggaroh Berselawat’, sekali lagi al-faqir telah diberi peluang menyambut kasih sayang rasulnya dengan alunan qasidah (puji-pujian ke atas nabi) oleh pendakwah dan selebriti terkenal, Habib Syeikh as-Saggof, pelantun asal qasidah ‘Ya Hanana’ bersama kumpulan qasidahnya yang terkenal. Tiada lafaz yang mampu diungkapkan apabila muncul bulan purnama yang sangat terang dengan suasana langit yang seolah-olah khusyuk menari sambil memuji rasul akhir zaman, Muhammad SAW dan embun yang turun mencurah sepanjang acara qasidah berlangsung. Moga-moga al-faqir termasuk dalam kalangan orang yang beruntung pada malam tersebut dengan berkat junjungan besar Rasulullah SAW.

Malam Cinta Rasul dengan tema 'Tenggaroh Berselawat'
Majlis dimulakan oleh Habib Syeikh as-Saggof dan tetamunya Syeikh Muhammad Ali at-Tijjani
Majlis diakhiri dengan bacaan doa dan selawat kepada Rasul


              
"Generasi Rabbani Sumber Tamadun Insani"
Laporan disediakan oleh: Pena Iqbal

0 comments:

Post a Comment