Tuesday, April 2, 2013

4 Jenis Puasa Yang Patut Ditinggalkan iii


III/PUASA HARI JUMAAT


Makruh berpuasa pada hari jumaat semata-mata tanpa didampingi dengan puasa sehari sebelumnya (Khamis) atau selepasnya (Jumaat). Dikecualikan hukum makruh ini dalam beberapa situasi:

1/ Orang yang kebiasaannya berpuasa sehari dan berbuka sehari. Kebetulan hari seterusnya jatuh pada hari Jumaat, maka disunatkan juga berpuasa pada hari tersebut walaupun tanpa didampingi oleh hari sebelum atau selepasnya.

2/Begitu juga orang yang kebiasaannya berpuasa pada setiap awal atau akhir atau pertengahan bulan yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Maka disunatkan juga berpuasa pada hari tersebut walaupun tanpa dampingan hari sebelum atau selepasnya.


Diriwayatkan di dalam hadis, “ Janganlah sekali-kali kamu berpuasa pada hari Jumaat semata-mata tanpa kamu damping puasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya”. Muhammad bin ‘Ubbad bertanya kepada salah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Jabir r.a, “ Adakah Rasulullah melarang dari berpuasa pada hari Jumaat?” Jawabnya, “Ya”.

Diriwayatkan dari Ummu al-Mukminin, Juwairiah binti al-Harith bahawa Rasullullah SAW bertemu dengannya pada suatu hari Jumaat sedangkan dia (Juwairiah) sedang berpuasa pada hari itu. Kata Nabi, “Adakah kamu berpuasa semalam (pada hari sebelumnya)?” Jawab Juwairiah, “ Tidak”. Nabi bertanya lagi, “ Adakah kamu berniat untuk berpuasa esok (pada hari selepasnya)?” Juwairiah menjawab, “Tidak”. Maka sabda Nabi SAW, “Jika begitu, hendaklah kamu berbuka sekarang”.

Riwayat-riwayat ini menjelaskan bahawa makruh berpuasa pada hari Jumaat semata-mata tanpa didampingi puasa pada hari Khamis sebelumnya atau puasa pada hari Sabtu selepasnya. 


Hikmahnya adalah kerana hari Jumaat adalah hari raya mingguan untuk umat Islam, maka dimakruhkan berpuasa kerana meraikannya seperti hari raya tahunan yang sebenar. Selain itu, tidak dikhususkan puasa pada hari Jumaat dengan tujuan mengelakkan iktiqad/keyakinan orang awam bahawa berpuasa pada hari tersebut adalah diwajibkan.

IV/PUASA PADA HARI SABTU


Begitu juga, makruh hukumnya berpuasa pada hari Sabtu sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Basar bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan puasa yang diwajibkan ke atas kamu”.


Diriwayatkan oleh Abdullah bin Basar ini bahawa saudara perempuannya yang bernama as-Soma’ menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan puasa yang diwajibkan ke atas kamu. Sekiranya tiada makanan di sisi kamu melainkan yang ada hanya kulit anggur atau dahan pokok, maka makanlah”.



Makruh di sini bermaksud makruh berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa didahului dengan puasa sebelumnya atau selepasnya. Hikmahnya adalah kerana hari Sabtu adalah hari perayaaan mingguan kaum Yahudi, hari yang sangat dimuliakan oleh mereka. Umat Islam dilarang berpuasa pada hari tersebut agar tidak dimanipulasikan seolah-olah kita juga memuliakannya dengan puasa tersebut.

Waallahua’lam.

Diolah semula oleh: Pena Iqbal dari pautan http://qaradawi.net/fatawaahkam/30/1649-2012-01-29-013100.html

0 comments:

Post a Comment